JANGAN MALU UNTUK BERKATA TIDAK TAHU

Sepertimana rezeki lain yang mana kita ketahui, Allah akan membahagi-bahagikan rezeki-Nya kepada setiap hamba-Nya. Setiap daripada akan menerima apa yang Allah kurniakan. Pembahagian rezeki itu bergantung kepada Ilmu-Nya yang Maha Luas sehingakan tidak terhitung oleh buih-buih diseluruh lautan.


Ilmu juga sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tak ada satu manusia pun memiliki sebarang ilmu tanpa diperkenankan oleh-Nya. Sebagai contohnya, ilmu matematik akan dirujuk kepada guru matematik, dan sekiranya ditanyakan kepada guru pendidikan seni, pasti gurumu akan menyuruhmu untuk merujuk kepada guru matematik kerana beliau lebih arif dalam ilmu tersebut dan mampu untuk menjawab pertanyaan tersebut.


Ilmu dan kemahiran setiap orang tidak sama. Contohnya, dalam kisah Imam Malik apabila datang kepada beliau seorang musafir yang menempuh perjalanan yang jauh bertanyakan soalan, tetapi beliau hanya menjawab apa yang ada dalam linkungan ilmunya sahaja dan selebihnya dia beliau menjawab beliau tidak mengetahuinya.





Dan mendengarkan jawapan itu, lalu pengembara tadi bertanya lagi kerana dia sudah menempuh perjalanan yang terlalu lama tetapi tidak mendapat jawapan kepada persoalannya dan dia berasa tidak puas hati. Lalu pengembara itu bertanya siapakah yang mengetahui jawapan tersebut. Imam Malik menjawab hanya pemberi ilmu (Allah) yang mengetahui jawapannya itu.


Sesungguhnya ilmu itu milik Allah. Dan kalau kita pernah membaca kisah para sahabat dan ulama-ulama terdahulu, mereka sanggup menempuh kepayahan, merantau jauh demi mendapatkan ilmu daripada guru-guru yang unggul. 





Zaman dahulu, bukanlah zaman yang ada kemudahan IT, tetapi mereka sanggup meredah segala halangan untuk mendapatkan ilmu, masa tu, tiada waze atau google map, wajah mereka pun tidak diketahui macam mana tetapi kehebatan ilmu dan  keimanan kepada Allah menjadikan namanya disebut ramai orang. Para pencinta ilmu sanggup merantau jauh kerana ingin bertemu dengan mereka untuk mendapatkan ilmu. 


Seperti mana kisah Imam Ahmad yang digerakkan hatinya untuk merantau, dan beliau pun keluarlah untuk merantau, dan akibat daripada perjalanannya yang jauh pakaian beliau menjadi comot dan beliau ingin menumpang rehat seketika di masjid pun dihalau, sedangkan dia seorang ulama' yang sangat tersohor, dan dengan takdir Allah beliau di temukan dengan seorang pembuat roti. Beliau dijemput untuk beristirehat di rumah pembuat roti tersebut. Pada zaman itu bukanlah zaman IT, walaupun nama Imam Ahmad dikenali oleh ramai orang, tetapi mereka yang masih belum bersua wajah pastinya tidak tahu bagaimana wajah beliau dan tidak akan mengenali beliau. 


Semasa berada di rumah pembuat roti, Imam Ahmad memerhatikan tingkah laku pembuat roti tersebut, lidahnya tidak pernah berhenti beristighfar dan menimbulkan tanda tanya di hati beliau. Dan beliau bertanya kepada pembuat roti tersebut akan perkara yang bermain difikirannya itu. Pembuat roti tersebut berkata, dia mengamalkan istighfar dan segala doanya di makbulkan Allah tetapi ada 1 hal sahaja lagi yang Allah belum makbulkan. Dia berdoa untuk dipertemukan dengan Imam Ahmad dan selama ini Allah masih belum memakbulkan doanya. 


Tetapi, tanpa disedari doanya itu telah diangkat oleh Allah dan dipertemukan dia dengan seorang guru yang hebat. Pertemuan yang sangat dia idam-idamkan itu terjawab setelah Imam Ahmad memperkenalkan dirinya sebagai Imam Ahmad. Hebatnya para ilmuwan terdahulu, walaupun wajahnya tidak dikenali kerana aspek jarak perjalanan yang jauh, tetapi kehebatan ilmu dan keimanannya menjadi sebutan dan disegani orang ramai. 


Tetapi mereka tidak riak dengan ilmu yang mereka ada. Berbalik kepada kisah Imam Malik tadi beliau hanya menjawab apa yang diketahuinya sahaja. Dan apa yang tidak diketahuinya, terserah kepada anak muridnya untuk berusaha mendapat ilmu tersebut daripada para ilmuwan yang lain. 





Sedikit pengajaran daripada kisah ini, kita perlulah berusaha dalam menuntut ilmu. Dalam menuntut ilmu perlukan pengorbanan masa dan azam yang kuat. Carilah guru yang mahir dalam bidang tersebut. Terdapat banyak ilmu dan pastinya guru-guru juga bukannya satu sahaja, maka berusahalah mencari guru-guru ini. Dan beramallah dengan ilmu yang benar dan jangan malu untuk berkata tidak tahu berkenaan sesuatu perkara sekiranya kita bukan ahlinya. 



Tetapi jangan disalah ertikan pula setelah membaca pos ini, zaman dahulu para ulama akan menjadi rujukan penting kerana pada masa itu tiada kemudahan IT dan sebagainya. Dan kisah ini dikongsikan di sini sebagai motivasi diri kita, untuk  sentiasa merendah diri dan tidak memutuskan sesuatu perkara tanpa ilmu di dada. Sedangkan ulama yang disegani suatu masa dahulu pun, sangat mengagungkan ilmu Allah dan berasa ilmu Allah itu tersangatlah luas sehingga beliau sendiri belum sempat mempelajari ilmu tersebut. Dan beliau tidak memutuskan apa-apa yang beliau tidak ketahui. 



Zaman kita hari ni, banyak kemudahan IT, banyak buku di pasaran dan di perpustakaan juga menyediakan kemudahan buku untuk di jadikan rujukan. Terdapat guru-guru yang ramai untuk dijadikan sumber rujukan dan tak perlu menempuh perjalanan 6 bulan lamanya pun pada zaman sekarang. Ilmu pasti ada peringkat-peringkatnya dan mulakanlah dari asasnya terlebih dahulu, setelah menguasai asasnya pastinya kita lebih senang untuk memahami peringkat seterusnya.





Ilmu pastinya tidak datang bergolek kepada mereka yang malas beusaha mendapatkan ilmu. Dan tanpa usaha untuk menambah ilmu atau beramal dengan ilmu, pastinya ilmu itu tidak akan berkembang dan lama-lama kelamaan akan lupa.





Semoga kita diberikan kekuatan untuk mencari ilmu yang bermanfaat. Semoga ilmu yang ada tidak melalaikan kita dalam kehidupan seharian. Semoga kita mendapat ilmu yang diberkati dan diredhai. 



Comments

POPULAR POST FOR THIS MONTH

TIP KERJAYA : SKOP KERJA BIDANG SUMBER MANUSIA (GAJI PEKERJA)

REVIEW : ROSKEN SKIN REPAIR - HIGH POTENCY VITAMIN E CREAM ENRICHED WITH SHEA & COCOA BUTTER

Review: Pahang Pharma Vitamin C 1000mg