KEAJAIBAN BERSEDEKAH
Bersedekah merupakan satu ibadat yang sangat sukar di buat tetapi sangat banyak manfaat dan kebaikan untuk ummah. Ramai diantara kita berasa berkira-kira dan rasa duit akan berkurangan sekiranya bersedekah. Sedangkan bersedekah itu ganjarannya amatlah besar bagi mereka yang ikhlas. Usah di hitung berapa nilainya, sedekahlah dengan penuh rasa ikhlas semoga Allah mengangkat amalan kita itu dan menurunkan rahmat dan kasih sayang yang tidak terhingga.
Sedekah akan mendekatkan kita dengan syurga dan dijauhi daripada neraka Allah. Bagi mereka yang bakhil hal yang sebaliknya akan berlaku. Banyak kebaikan daripada aktiviti bersedekah ini dan diantaranya mereka akan disayangi Allah dan jugak disayangi oleh manusia. Bersedekah ini mampu meringankan beban orang lain. Dan bayangkan lah, dengan nilai sedekah yang mungkin kecil di mata kita, tetapi sangat besar di mata penerimanya. Kita mungkin didoakan dengan pelbagai doa oleh penerima sedekah tersebut.
Sedekah itu tidak akan mengurangkan apa-apa tetapi pembuka kepada rezeki yang tidak diduga. Banyak peristiwa yang seakan tidak masuk di akal tetapi ada banyak kebenarannya. Contohnya, seorang petani yang gemar bersedekah jika dibandingkan dengan hartawan maka pastinya kita merasakan si hartawan itu lagi layak bersedekah. Tetapi untuk bersedekah tidak memerlukan kita menjadi seseorang yang sangat kaya dengan wang ringgit, cukup sahaja untuk kita memiliki kekayaan jiwa. Kekuatan jiwa dan keyakinan yang tiada putus akan janji Allah itulah yang akan menjadi penguat untuk kita mengeluarkan sedekah.
Sedekah ini mampu membantu menyucikan harta kita dan di jadikan pencen untuk akaun akhirat. Kadang-kadang kita berasa berat untuk bersedekah kerana risau akan kekurangan wang, bersedekah lah walau jumlah yang kecil kerana Allah menilai kebesaran hatimu dalam mengeluarkan sedekah. Sesungguhnya Allah itu sangat adil. Setiap hambanya di uji dengan pelbagai cabang. Ada yang diuji dengan harta dan ada yang di uji dengan kemiskinan. Si hartawan akan diuji bagaimana dia menguruskan wang ringgitnya manakala si miskin akan diuji dengan kekuatan jiwa untuk bersabar.
Allah itu adil dalam pembahagian rezeki-Nya, bagi mereka yang kaya wajib ke atas mereka untuk mengeluarkan zakat dan zakat itu akan disalurkan kepada golongan yang sangat memerlukanNya. Jangan sesekali menyangkakan segala harta yang kita miliki adalah milik kita kerana semunya itu datangnya dari Allah dan kita hanyalah manusia yang diberikan amanah untuk menguruskan harta tersebut. Maka perlulah diagihkan harta tersebut kepada mereka yang lain sekiranya mencukupi syaratnya.
Kepada fakir miskin, usahlah terasa terhina dengan kemiskinan hidup, Allah telah meletakkan rezeki mu untuk diuruskan oleh orang lain. Yang mana rezeki yang telah dijamin milikmu pasti akan sampai tangan mu jua. Rezeki tidak akan tersalah alamat kerana Allah itulah sebaik-baik perancang. Pasti ada sebab sekiranya ditangguhkan dan teruslah berbaik sangka dengan Allah. Usahlah berasa dengki dan hasad kelebihan yang Allah berikan kepada orang lain. Barangkali itu bukanlah rezeki yang berkat tetapi istidraj: kemurkaan yang Allah turunkan di dalam bentuk kekayaan yang melalaikan. Semoga kita semua terus kuat untuk mencari rezeki yang halal dan yakinlah keberkatan itu akan mencukupkan dan itulah punca kebahagian sebenar.
Comments
Post a Comment
Pandangan dan cadangan yang bermanfaat sangat dihargai :-)