SUKA DUKA DI TAHUN 2020

Suka duka kita di tahun 2020 ni hanya Allah SWT yang tahu. Semoga Allah memberikan kita rahmat dan mempermudahkan segala urusan kita. Semoga Allah memberikan kita ketenangan dan kemenangan menangani ujian hidup kita. Semoga kita diberikan kekuatan untuk terus berprangsangka baik dengan ujian daripada-Nya.




Selain daripada permasalahan wabak, banyak sebenarnya ujian-ujian lain yang Allah uji kita. Allah uji kita untuk bersabar dan patuh pada arahan pemimpin demi kesejahteraan rakyat dan negara. Allah uji kita dengan ujian ekonomi, banyak operasi perniagan terpaksa dihentikan, majikan diuji dengan kredibiliti dan keadilan dalam kepimpinannya dan usahanya untuk membantu pekerjanya, yang mungkin nampak kecil usahanya, tetapi walau tak terlihat di mata yang lain tapi Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.


Para suri rumah juga mungkin teruji dengan permintaan anak-anak dan suami yang inginkan masakan yang pelbagai. Teruji melihat keadaan rumah yang bersepah-sepah. Pada kebiasaannya rumah selalu bersih, senang diuruskan tetapi dalam keadaan sekarang rumah sudah seakan tidak terurus dan mudah tertekan dengan anak-anak. Kadang-kala timbul rasa terkilan dengan si suami yang seolah-olah tidak mengerti bebanan yang ditanggung di hati. Suami tidak sudi untuk membantu dan memahami situasi si isteri, maka timbullah isu pergaduhan dan perang dingin. Emosi yang tidak diuruskan dengan baik cenderung membuatkan kita membuat keputusan yang terburu-buru dan menyakiti satu sama lain.


Anak-anak juga teruji dengan sikap tingkah laku ibu dan bapanya. Sekiranya ibu dan bapa sering bertengkar dan menyalahi satu sama lain anak-anak akan mula rasa tidak selesa dan rimas untuk berada di rumah. Mereka berasa mudah bosan dan banyak masa tidak dimanfaati dengan baik. Lama- kelamaan mereka akan mula memberontak secara diam-diam sekiranya ibu dan bapa tidak mengambil inisiatif untuk mengambil peduli akan emosi anak-anak. Anak-anak yang sedang membesar sering menjadikan ibu bapa sebagai rujukan utama mereka, dalam tidak sedar mereka cuba meniru kelakuan dan tindakan ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa berkelakuan positif maka insya Allah si anak akan turut membesar dan bertindak secara positif. Jadi, ibu bapa di luar sana, haruslah bersikap lebih matang dalam menangani isu atau kemelut rumah tangga masing-masing agar anak-anak tidak terkesan dengan tindakan yang anda pamerkan.


Selain itu, ada diantara kita diuji dengan hilangnya pekerjaan. Di saat begini mungkin sedikit sukar untuk mencari pekerjaan yang baru. Di berhentikan atas pelbagai alasan. Ada yang tidak diberhentikan kerja tetapi diberikan cuti tanpa gaji. Turut menerima tempias terputusnya punca pendapatan. Mohon pihak majikan tidak menyalahgunakan saluran yang kerajaan sediakan untuk membantu pekerja tetapi digunakan untuk tujuan kepentingan ekonomi peribadi. Ada segelintir majikan yang mencuba untuk menggunakan faedah caruman pekerja yang diisytiharkan cuti tanpa gaji untuk menampung keperluan ekonomi syarikat. Sekiranya pekerja tersebut diberikan cuti tanpa gaji dan bantuan tersebut disalurkan kepada syarikat, maka pekerja tersebut layak menerima faedah caruman tersebut. 


Sekiranya syarikat tidak dibenarkan atau belum menerima kebenaran untuk beroperasi anda tidak berhak mengerah pekerja untuk bekerja walaupun anda yakin bahawa perniagaan yang dijalankan berada didalam sektor penting atau ESSENTIAL SERVICES. Sila dapatkan kebenaran terdahulu, kerana adalah tidak adil kepada pekerja anda untuk mereka hadir tanpa kebenaran tersebut. Sekiranya terjadi apa-apa kepada pekerja anda adakah anda akan bertanggungjawab? Pastinya akan timbullah keraguan di hati pekerja anda, sebagai majikan anda sendiri berasa tidak sabar untuk menghadapi prosedur yang ada, adakah anda bersedia untuk bertanggungjawab sekiranya pekerja anda di timpa kecelakaan sewaktu menjalankan tugas yang tidak mendapat kebenaran rasmi.




Terima kasih kepada FRONT LINER yang masih berjuang. Semoga Allah membalas setiap titik peluh dan keikhlasan hati anda dalam menjalankan tugas dengan cemerlang. Menjalankan tugas dengan penuh rasa ikhlas di saat ini adalah tidak mudah. Sekiranya anda mampu menjalankan tugas dengan penuh beretika dan berdedikasi tinggi di samping berusaha menjaga segala amanah yang diberikan anda adalah FRONT LINER yang sejati. Sekiranya bukanlah sanjungan dan pujian yang anda harapkan tetapi mencari keredhaan Allah dalam menjalankan amanah yang dipegang, kami mendoakan anda dipermudahkan urusan dunia dan akhirat serta semoga Allah melimpahkan rahmat dan keberkatan di dalam kehidupan kalian.


Buat mereka yang diuji kehilangan orang yang tersayang, bersabarlah dengan ujian Allah. Sememangnya mudah untuk menuturkan sabar tetapi untuk menjiwai atau menghayati makna sabar itu pasti sukar sekali. Kehilangan orang yang tersayang pasti memberikan kita rasa sedih dan menenggelamkan kita dalam kecelaruan emosi. Kadang terselit rasa sedih dan terkilan di atas permegian arwah. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada anda sekeluarga. Semoga dengan pemergiaan mereka meringankan penderitaan kesakitan yang mereka rasakan sewaktu hidup mereka. Mungkin ada hikmah yang masih belum kita lihat, tetapi percayalah perancangan Allah adalah yang terbaik.


Buat kita yang masih di rumah ini, bersabarlah seketika dan patuhlah arahan semasa. Bukan kita sahaja yang sedang bersusah payah untuk menahan diri daripada untuk tidak keluar daripada rumah. Sudah banyak hari berlalu, sudah banyak fasa PKP yang terpaksa kita tempuhi apakah anda ingin kembali mengulang fasa pertama sekiranya anda berbuat keputusan untuk keluar dan berhimpun tanpa keperluan penting. Jagalah diri dan kesihatan masing-masing. Anda adalah FRONT LINER kepada diri anda. Sekiranya anda dapat menjaga diri anda dan keluarga anda, maka ringanlah bebanan FRONT LINER di luar sana. Jika kita berasa ingin keluar dan melakukan aktiviti seperti sebelum ini, kita ambillah inisiatif untuk menjaga diri kita. Kita jaga kita.


Selain itu, ada yang diuji terpisah dengan ahli keluarga. Tidak dapat bersua muka berbulan-bulan lamanya. Ada yang terpaksa menghantar anak-anak ke kampung demi kembali menjalankan tugas. Ada yang tertangguh kepulangan ke kampung untuk menziarahi orang tua mereka. Apakah khabar mereka di sana? Sihatkah mereka? Cukupkah keperluan mereka? Hanya doa dan kerinduan menjadi kekuatan dalam menjalani hari. Semoga Allah melindungi insan-insan yang kita sayangi. Kadang-kadang sudah tak terbendung rasa sedih di hati, mendengar suara melalui corong-corong telefon sangat menyayat hati. Kerinduan untuk bersua muka sudah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang melalui akan memahami perasaan ini. 


Ada juga yang sudah merancang pelbagai majlis seperti pertunangan atau pernikahan terpaksa di tunda majlis tersebut. Apapun bersabarlah. Semoga ujian ini meningkatkan rasa cinta dan menanamkan rasa saling mempercayai terhadap satu sama lain. Semoga tertundanya hari bahagia anda, memberikan anda lebih persediaan untuk anda memperbaiki diri, melengkapkan diri dengan ilmu rumah tangga dan sebagainya. Mungkin apa yang terjadi sekarang ini, membuatkan kita bertindak lebih matang dan melatih diri kita untuk berfikir lebih baik dalam membuat sebarang keputusan. Untuk yang selama ini, sibuk berkerja tu bolehlah belajar masak ke menjahit ke pendek cerita belajar lah ilmu rumah tangga, semoga rumah tangga yang di bina kelak akan bahagia dan harmoni. Semoga saling ada rasa kasih sayang, hormat menghormati, belas kasihan, bertanggungjawab dan bertoleransi. 


Untuk yang dah putus cinta atau putus kasih tu, bersabarlah. Mungkin dengan adanya PKP ini anda akan punyai lebih banyak masa untuk muhasabah diri. Semoga masa yang ada menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Mungkin selama ini masa yang ada digunakan untuk berbual-bual dengan si dia secara bersemuka atau melalui telefon. Mungkin kini, kini mempunyai lebih banyak masa untuk berbicara dengan Allah, Pemilik rasa Cinta. Dia berkuasa untuk menyatukan dan memisahkan sesiapa yang Dia inginkan. Mohonlah kepadanya, semoga anda diberikan petunjuk dalam membuat keputusan yang terbaik anda. Sekiranya mendapat petunjuk yang positif nanti, habis PKP ni pergilah cari si dia mungkin tika itu sudah tiada rajuk di hati. Atau mungkin petunjuk yang diperolehi adalah sebaliknya, mereka yakin lah Allah merancang sesutu yang lebih baik untuk anda. Mungkin si dia yang anda sukai sekarang bukanlah yang terbaik untuk anda. Boleh jadi, Allah akan temukan anda dengan orang yang lebih baik selepas ini. 




Berpuasa kali ini agak berbeza daripada tahun sebelum ini. Tiada lagi bazar - bazar yang boleh dikunjungi. Suasana mungkin sedikit berbeza, tetapi ia mungkin memberikan kita erti Ramadhan yang lebih besar. Mungkin sebelum ini, kita dihujani dengan limpahan makanan yang banyak sehinggakan menyebabkan pembaziran. Kita membeli makanan berdasarkan kemahuan nafsu bukannya keperluan diri. Betapa kita terlupa dengan hakikat sebenarnya Ramadhan itu. Selain daripada menahan lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari, sebenarnya banyak perkara yang perlu di jaga dan di pantau sewaktu Ramadhan ini. 


Jagalah akhlak kita supaya kita berada dalam keadaan harmoni. Puasa mengajar kita untuk lebih bersyukur dengan kurniaan rezeki yang Allah berikan. Mungkin sebelum ini, kita sering membazir makanan, sekarang kita lebih bersyukur dan menghargai nikmat rezeki yang Allah berikan dan mengerti bagaimana rasanya si fakir miskin yang tidak berkemampuan untuk mengisi perut mereka terpaksa menahan lapar dan dahaga. Kalau kita rasa susah untuk mendapat makanan kesukaan kita, ingatlah ada di luar sana terpaksa berlapar kerana kesempitan hidup. 


Solat terawikh sudah tidak dapat dilaksanakan di surau atau masjid. Di sini lah, peranan ketua keluarga untuk masing-masing menjadi imam di rumah masing-masing. Semoga setiap kediaman kita tidak kira di mana kita berada menjadi saksi kepada amal ibadat yang kita laksanakan. Tidak perlu lagi perhatian atau pujian manusia untuk kita meneruskan amal ibadat kita. Semoga amal ibadat yang kita kerjakan ikhlas hanya kerana Allah. Semoga aktiviti sebegini merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama kita. 




Semoga kita semua berjaya mengharungi ujian ini. Kita berkongsi bumi yang sama, Pencipta kita juga adalah sama. Semoga kita semua pulang kepada-Nya dalam keadaan terbaik dan akhir usia kita berakhir dalan keadaan diredhai-Nya. 

Comments

POPULAR POST FOR THIS MONTH

TIP KERJAYA : SKOP KERJA BIDANG SUMBER MANUSIA (GAJI PEKERJA)

REVIEW : ROSKEN SKIN REPAIR - HIGH POTENCY VITAMIN E CREAM ENRICHED WITH SHEA & COCOA BUTTER

Review: Pahang Pharma Vitamin C 1000mg