SYARAT-SYARAT MENJALANKAN OPERASI SEPANJANG TEMPOH PKP


Ramai di kalangan kita agak terkesan dan berada di dalam dilema apabila membincangkan mengenai isu atau arahan semasa sepanjang tempoh PKP berlangsung. Anda tidak perlu berasa risau, kerana pihak kerajaan telah mengambil tindakan dan mengeluaran arahan yang terbaik untuk kesejahteraan kita semua. Terdapat banyak pihak yang sangat berkerjasama mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dalam tempoh PKP berlangsung. 

Pihak majikan seharusnya mengambil inisiatif terbaik dalam menjaga kesihatan dan keselamatan pekerja. Sekiranya syarikat tergolong dalam sektor essential services, dan mendapat kebenaran daripada pihak MITI untuk beroperasi, syarikat haruslah mematuhi peraturan yang telah di tetapkan oleh MKN demi mengurangkan risiko penularan COVID-19. 

Pihak majikan tidak seharusnya bersikap mementingkan diri dan menggunakan kesempatan yang ada untuk menjaga kepentingan ekonomi syarikat sahaja. Syarikat dibenarkan beroperasi di atas dasar syarikat berada di dalam sektor penting yang mana sangat berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat dan negara. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk menjaga keselamatan pekerja dan melaksanakan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MKN. 

Berikut adalah kenyataan media daripada Majlis Keselamatan Negara berkenaan isu dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh PKP berlangsung. 






KENYATAAN MEDIA
MAJLIS KESELAMATAN NEGARA,
JABATAN PERDANA MENTERI

18 MAC 2020
1. Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak Industri pada 17 Mac 2020, yang dihadiri oleh persatuan-persatuan industri dan dewan- dewan perniagaan antaranya Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM), American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) dan The Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM) yang mewakili industri pembuatan negara.
2. Kerajaan menyambut baik kefahaman pihak industri berkaitan kewajaran peraturan kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
3. Dalam hal ini, Kerajaan amat prihatin dan memandang serius akan cabaran yang dihadapi oleh pihak industri dan turut mengambil maklum akan kepentingan sektor industri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa. Kerajaan akan terus bekerjasama dengan komuniti industri khususnya dalam memastikan perkhidmatan bekalan penting tidak terputus.
4. Sehubungan itu, Kerajaan telah memberikan kelulusan untuk beroperasi dengan syarat-syarat tertentu kepada pihak industri pembuatan yang berkenaan, terutamanya yang mengeluarkan produk-produk yang ditakrifkan sebagai kritikal (seperti di Lampiran A), dengan operasi pekerja di tahap minima dan penggiliran pekerja dilaksanakan. Industri yang dipertimbangkan juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan langkah-langkah saringan dan pencegahan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan di peringkat syarikat demi keselamatan pekerja dan pelanggan.
5. Syarikat-syarikat yang diluluskan untuk beroperasi WAJIB mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut:
i. Syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau sekurang-kurangnya sebanyak 50% daripada jumlah semasa atau yang berdaftar, bagi pengeluaran di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Syarikat hendaklah mewujudkan sistem bekerja dari rumah bagi pekerja yang tidak terlibat dengan aktiviti pengilangan yang kritikal.
ii. Syarikat dikehendaki untuk memenuhi permintaan dan keperluan produk keluaran atau perkhidmatan bagi pasaran tempatan sepenuhnya.
iii. Syarikat hendaklah mengemukakan kepada MITI senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis.
iv. Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan, dan mengambil bacaan suhu badan pekerja pada setiap hari di pintu masuk kilang/premis. Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk rujukan.
v. Sekiranya suhu badan didapati melebihi paras biasa, syarikat hendaklah menghubungi Pejabat Kesihatan atau Hospital Kerajaan terdekat.
vi. Semua pekerja hendaklah mematuhi prosedur pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh KKM yang dikeluarkan dari masa ke semasa.
vii. Syarikat hendaklah menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dan tempat-tempat lain yang berkaitan dalam kilang/premis, serta memastikan pemakaian face mask oleh setiap pekerja.
viii. Syarikat hendaklah menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman di kilang/premis sebelum setiap shift atau operasi bermula.
ix. Proses sanitasi dan pembersihan perlu dilaksanakan tiga (3) kali sehari terutamanya di kawasan umum (common spaces) seperti lobi, lif, cafeteria, bilik-bilik mesyuarat, surau, bas/pengangkutan pekerja dan pusat rekreasi tertutup.
x. Syarikat hendaklah memastikan kenderaan pekerja telah menjalani proses sanitasi dan pembasmian kuman setiap kali sebelum digunakan.
xi. Syarikat hendaklah memastikan garis panduan amalan terbaik social distancing disediakan dan dilaksanakan khususnya di kawasan-kawasan pengeluaran fasiliti (production floor); cafeteria/kantin; bilik-bilik mesyuarat; surau dan dewan serba guna (multipurpose hall).
xii. Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti COVID-19, syarikat adalah bertanggungjawab menanggung sepenuhnya semua kos perubatan, proses nyah cemar premis, dan lain-lain kos yang berkaitan.
xiii. Kerajaan ingin menegaskan bahawa kelulusan ini boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh pihak syarikat/industri.
xiv. Kerajaan berhak untuk meminda syarat-syarat di atas tertakluk kepada situasi semasa.
6. Kerajaan ingin menegaskan bahawa kelulusan ini boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan ditidak dipatuhi oleh pihak industri.

Comments