Rezeki kurang atau rasa syukur yang kurang??

Rezeki tak kunjung tiba??


Rezeki terasa payah??


Dah puas berusaha namu masih belum mampu tercapai cita-cita??


Pelbagai keluh kesah yang selalu terbit daripada mulut kita tanpa kita sedari. Betapa banyak nya rungutan kita dan betapa sedikitnya ucapan syukur yang terbit daripada mulut kita. Tanpa kita sedari, kita tenggelam dalam emosi kita sendiri. Padahal Allah selalu mengingati hamba-Nya untuk sentiasa bergantung harap kepada-Nya. Rasa gembira dan bahagia itu datang daripada-Nya. Tetapi kita sering sahaja terlupa akan itu...


Kadang-kadang kita berasa penat dengan persekitaran kita, kadang-kadang rasa letih dengan insan-insan disekeliling kita yang hadir dengan pelbagai ragam dan kerenah. Ada masanya kita rasa tak mampu dan terlalu letih nak gembirakan hati semua orang, nak berikan yang terbaik kat semua orang.. Kita rasa tersangatlah lemah waktu itu. Tapi tanyalah diri kita sendiri betulkah kita dah berikan yang terbaik?? Yang terbaik itu bila kita lakukan sesuatu dengan seikhlas hati, buat semampu mungkin, tanpa mengharapkan balasan daripada sesiapa kerana kita tahu dan yakin hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Melihat serta Maha Mengadili. Manusia memang tidak dapat menilai betapa kita telah pun bersungguh-sungguh melakukan perkara tersebut dan telah mencuba sedaya upaya. Tetapi Allah tahu dan Allah nampak setiap kepayahan dan jerit perih yang kita rasai itu,


Kadang sis sendiri pun selalu terleka dengan kesibukkan dunia dan mencari kebaikkan dunia sehingga terlupa yang Allah itu ada, dan kepada-Nya jua kita akan dijemput pulang. Dia tidak pernah mengantuk dan tidak pula tidur. Dia sentiasa ada untuk hamba-Nya. Tapi kita sering terlupa dan terleka dengan tipu daya dunia yang akhirnya merugikan diri kita sendiri.


Selalulah pesan pada hati supaya sentiasa bersyukur dan sentiasalah berdoa semoga setiap hari mendatang menjadikan diri kita insan yang lebih baik daripada hari sebelum ini. Bedoalah juga mohon keampunan di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan mohonlah petunjuk dan hidayah daripada-Nya. Semoga Allah cukupkan kita dengan rezeki yang berkat dan tidak mudah terpedaya dengan kelebihan orang lain, kerna mereka jua ada ujian nya tersendiri. Kita juga ada ujian kita sendiri. Ada orang di uji dengan hartanya, semakin kaya, semakin tamak, semakin susah untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat. Semakin hari menjadi semakin tamak, dan berasa tidak cukup dan apa yang ada. Semakin hari semakin haus dengan harta dunia, sehingga terlupa untuk menyediakan bekalan akhirat.


Kaya bukan beerti mulia, 

Dan miskin bukan beerti hina


Allah telah menciptakan kita dengan kelebihan dan kekurangan. Allah hadirkan ujian sesuai dengan kempuan kita. Allah hadirkan harta yang cukup buat kita. Telah jelas Allah nyatakan di dalam al-Quran, di dalam harta mereka ada hak orang lain yang perlu di sucikan. Allah nyatakan dengan jelas, tiada tertulis di situ si miskin perlu menadah tangan meminta-minta harta orang lain, bahkan mereka yang diberikan harta yang lebih inilah, di berikan amanah untuk menyelesaikan tanggungjawabnya dengan menggagihkan harta mereka kepada pemilik yang selayaknya.




Kadang-kadang kita tidak menyedari, di saat kita gembira makan makanan yang mewah, buang lebihan makanan begitu sahaja, tika itu ada insan lain yang masih kelaparan, ada yang hanya mampu mengalas perut dengan sisa makanan yang terbuang. Alangkah hinanya diri kita kerana tidak mampu merasai nikmat syukur itu,  dan kita berasa hidup kita masih tidak cukup dan masih merungut-rungut tentang itu dan ini. Bukankah Allah telah berjanji seandainya manusia itu bersyukur, maka Allah akan tambahkan lagi nikmat buat mereka. Kita terlalu sombong dan berasa megah dengan kelebihan yang ada sehingga kita jadi tidak bersyukur. Bukankah rezeki itu semua datangnya daripada Allah? 


Ajar dan didik kita untuk lakukan sesuatu ikhlas kerana Allah, dan tidak sesekali kerana manusia. Niatkan kan hati kita buat sesuatu untuk Allah redha. Semoga Allah jauhkan kita daripada sifat riak dan takabur  dan semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat. Semoga Allah lindung diri kita selalu. Bersyukurlah dengan apa yang kita perolehi sekarang, mungkin itu mengelakkan kita menjadi seorang hamba yang muflis di akhirat kelak. Sungguh rugi kepada diri kita sendiri, andai kita tidak mampu menahan azab ujian harta kekayaan ini. Jadi bersyukurlah dengan rezeki yang Allah kurniakan ini.


Jangan sesekali berasa ragu untuk berkongsi rezeki dengan orang lain. Berkongsilah sekadar yang termampu. Bukan nilai jutaan ringgit yang Allah nilaikan tetapi betapa besarnya jiwamu untuk menjadi seorang yang ikhlas. Abaikan nilaian di mata manusia, mereka manusia biasa, pastinya tidak sempurna. dan yakinlah dengan janji Allah, Dialah yang Maha Berkuasa dan paling sempurna.


Selalu juga kita dengar, rahsia rezeki mereka yang melimpah ruah ni pastinya ada terselit ruang dan masa yang mereka gunakan untuk bersedekah. Mereka tidak lokek untuk bersedekah, malahan sudah menjadi amalan kebiasaan buat mereka. Rezeki mereka tidak berkurang, malahan makin bertambah, disayangi dan dihormati oleh orang lain. Apabila kita kembali kepada Allah, dengan erti kata lain, kita melaksanakan perintah-Nya dengan ikhlas dan penuh rasa syukur, pasti pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita. 


Orang yang bersyukur ni, dalam apa jua keadaan pastinya adalah terbaik buatnya. Semoga Allah meletakkan kita dikalangan hamba-Nya yang bersyukur dan sentiasa kembalikan hati kita yang sering berbolak balik ini kepada-Nya. Semoga kita dijauhi daripada  kesesatan hidup, Aamin..

Comments