Ikhlaskan Diri Dan Syukur Selalu

Dalam kehidupan hari ni terlalu banyak perkara yang menjadi tumpuan dan kesukaan masing-masing sehingga kita hanyut dan lupa mengucap syukur kepada-Nya. Kita sering mengucap syukur bila beroleh sesuatu yang jelas terlihat di mata kasar, tetapi kita sering terlupa akan nikmat yang begitu besar yang telah Allah berikan kepada kita. 




Kita nampak orang lain bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, tetapi kita tak nampak, yang Allah dah berikan pelbagai nikmat kepada kita. Allah anugerahkan kita tubuh badan yang sihat tanpa perlu kita mengeluarkan perbelanjaan perubatan yang berpuluh ribu untuk kita berdiri dan berjalan. Sedangkan ada di luar sana sudah berhabis puluhan ribu, malahan sudah hampir kehabisan wang, tetapi belum lagi diizinkan oleh Allah untuk berdiri dan berjalan. Sedangkan kita yang mampu berdiri dan berjalan ini, boleh berjalan ke sana sini, tetapi lupa mencari haluan yang membawa kepada jalan Allah.


Kita sering melihat apa yang orang lain ada, tetapi kita tak sedar, Allah telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita. Ada mereka di luar sana terpaksa mengikat perut dan berhabis duit demi mendapatkan sepasang penglihatan yang baik, tetapi kita yang boleh melihat dengan baik ni, tidak sudi melihat dan membaca kalam Allah yang indah lagi sempurna itu. Mata kita digunakan untuk melihat apa yang orang lain ada, terutamanya sesuatu yang bersifat materialistik. Kemewahan dan kemegahan hidup orang lain yang kita dambakan.





Bukan itu sahaja, ada daripada kita, Allah mengurniakan kecerdasan otak, maka gunalah ia sebaiknya. Jagalah akal fikiran dengan baik. Manfaatkan lah ia untuk kesejahteraan diri dan masyarakat sekitar. Jangan musnahkan ia dengan hal-hal yang tidak baik. Jangan sesekali bersangka buruk dengan apa yang telah Allah takdirkan. Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang.


Begitu juga buat mereka yang masih ada ibu bapa disisi  mereka, bersyukurlah sekiranya kita masih diberikan kesempatan untuk berbakti kepada orang tua kita, ada orang lain di luar sana, sudah tidak punyai orang tua mereka. Orang tua mereka telah pergi mengadap Ilahi. Pernahkah kita bertanya kepada mereka? Apakah pesanan kepada mereka yang masih punyai ibu ayah? Mungkin kita tidak pernah bertanya dan mungkin tidak pernah terlintas di fikiran untuk bertanyakan soalan tersebut. Tetapi jika diberikan kesempatan, bertanyalah kepada mereka yang sudah tidak punyai kedua orang tua mereka. Pastinya mereka akan berpesan supaya kamu jagalah kedua orang tuamu dengan sebaiknya dan sayangilah mereka. Setiap daripada kita mempunyai kekurangan, begitu juga ibu dan ayah kita. Bersyukurlah Allah hadirkan mereka sebagai ibu bapa kita.


Walau apa pun yang terjadi, sentiasalah bersyukur kepada Allah. Berbuatlah sesuatu demi mencari redha Allah. Semoga Allah menjaga dan melindungi kita selalu. Aamin.

Comments