Kasih Ayah Tiada Tandingnya...





Ayah, papa, daddy abi, walid atau apa sahaja panggilan yang kita berikan kepadanya adalah seorang insan yang istimewa di dalam hidup kita. Tanpa mereka siapalah kita. Dialah insan yang sanggup menerima baik buruk diri kita dan yang tetap ada di sisi kita sepanjang susah senang kita. Mungkin waktu senang kita melihat ramai orang di sisi kita, tetapi dikala tersepit dengan kesusahan, insan inilah yang akan ada di sisi kita dan setia menyokong kita dalam apa jua keadaan.


Sebagai seorang anak kita seharusnya bersyukur dengan siapa yang tuhan takdirkan sebagai ayah kita. Dia adalah perwira selamanya di hati kita. Jasanya tiada galang gantinya. Wahai adikku, aku ingin berpesan, jagalah dan peliharalah orang tua mu itu. Kasihlah mereka selayaknya. Gembirakanlah hati mereka selagi kamu masih berpeluang menjalani hari-harimu bersama mereka, kerana tidak semua orang berpeluang untuk merasakan hal seperti ini.


Wahai adikku, peliharalah maruah dan kehormatanmu, jagalah nama baik orang tuamu. Walau di mana kamu berada peliharalah akhlakmu. Tiada gunanya kamu belajar sehingga peringkat tertinggi dan lulus dengan cemerlang sekiranya kamu gagal menjadi permata soleh atau solehah buat orang tuamu.


Bukan sijil dan sanjungan orang ramai yang akan dinilai oleh Allah, kerana itu hanyalah suatu nilai yang diikitiraf oleh seorang manusia kepada manusia lain berdasarkan suatu standard yang mana standard tersebut diiktirafkan oleh insan yang bergelar manusia juga. Sesungguhnya ketahuilah bahawa ilmu Allah itu luas, tidak terhitung oleh akal dan minda. Allah menilai hamba-Nya berdasarkan keikhlasan hati seorang hamba-Nya dalam melaksanakan perintah-Nya dan amal soleh yang ikhlas itulah yang akan dinilai-Nya. 


Wahai adikku, peliharalah tutur kata kita, berlemah lembutlah dengan orang tua kita dan setiasalah bersabar dengan mereka. Sekiranya seorang ayah memarahi anaknya, itulah adalah tanda cinta dan kasihnya terhadapmu. Mungkin bagimu, apabila selalu dimarahi, selalu di tegur, kamu merasakan kamu seorang yang tidak berguna, tidak disayangi dan rasa tidak diperlukan lagi. Adikku, ingatlah pesananku, mereka menegurmu kerana mereka sangat peduli akan dirimu dan mereka mahu kamu berubah ke arah kebaikan kerana mahu memastikan kamu membesar menjadi insan yang berguna.


Mereka menegur tingkah lakumu untuk mendidikmu agar kelak apabila mereka telah tiada lagi di dunia ini, kamu mampu meneruskan kehidupan dengan baik dan terjamin. Kamu beruntung ada yang masih menyayangi dan pedulikan dirimu, sedangkan di luar sana masih ramai yang mendambakan kasih seorang ayah. Ada yang kehilangan ayahnya sejak kecil lagi, ada yang ayahnya menghilangkan diri tanpa jejak, dan ada di luar sana yang tidak diingini oleh ayah kandungnya sendiri dan ditinggalkan sepi tanpa sebarang nafkah.


Wahai adikku, sekiranya orang tuamu selalu tidak lemah lembut dalam berkata-kata padamu, kamu tetaplah berlemah lembut pada mereka. Mungkin mereka sudah terbiasa sebegitu. Mungkin sewaktu kecil mereka dibesarkan dalam suasana sebegitu sehingga mereka tidak tahu cara sepatutnya untuk mempamerkan rasa kasih dan sayang terhadapmu.


Sejak daripada kecil mereka telah diajar untuk berdikari, melakukan kerja berat dan lasak. Secara tidak langsung perkara ini, menjadikan mereka seorang yang mempunyai karakter yang sedikit kasar. Dan apabila kamu membandingkan dirimu dengan sahabatmu yang mana hidupnya sedikit mewah, tinggal di rumah besar dan mempunyai keluarga yang seolah-olah sempurna seperti bayangan mindamu, kamu mula merasakan hidup ini tidak adil buatmu. Walhal apa yang kamu lihat itu hanyalah apa yang ada dipandangan matamu sahaja.


Adikku, setiap orang diberikan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza. Jangan sesekali berasa rendah diri jika tidak berharta, itu hanyalah perhiasan dunia semata-mata. Harta yang boleh dibawa sehingga mati hanyalah dirimu sahaja. Kamulah harta dunia akhirat orang tuamu. Nilai mu begitu besar buat mereka wahai adik-adiku ku.


Wahai adikku lihatlah ayahmu sewaktu dia pulang ke rumah di waktu petang, setelah penat seharian berkerja, Apa yang ada difikiranmu?? Tidakkah ada secebis simpati atau rasa syukur kerana insan itu masih bertungkus lumus keluar mencari rezeki demi meneruskan kehidupan kamu sekeluarga. Walaupun tidak berpeluang untuk besekolah tinggi dan ada sesetengahnya langsung tidak tahu membaca dan menulis, tetapi mereka tetap bertungkus-lumus menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Kerana apa?? Kerana ingin melihatmu berjaya dan berharap kehidupanmu lebih terjamin di masa akan datang. Berharap suatu hari nanti kamu dapat mengubah nasib keluargamu dan menjadi contoh yang baik untuk adik-adikmu. Betapa besarnya impian dan cita-cita mereka wahai adik-adikku.


Bersekolahlah kamu sebaiknya dan tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sunguh. Mungkin tidak dikurniakan otak yang pintar, tetapi itu tidak mengapa. Berusahalah, insya Allah ada jalan buatmu kelak. Walaupun jalan yang kamu rasakan sangat sukar, teruskan berusaha walaupun mungkin nanti keputusan peperiksaanmu tidak mungkin melayakkan kamu untuk untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, jangan bersedih kerana universiti kehidupan masih belum berakhir, selagi mana nafas masih di hela selagi itu kamu masih menuntut ilmu.


Jangan berasa gundah, dengan keputusan peperiksaan yang ada, masih banyak ruang  dan peluang untukmu. Banyak pusat-pusat kemahiran dibuka untuk mengasah bakat anak muda hari ini. Siapa tahu mungkin rezeki mu ada di situ dan jangan sesekali berputus asa dan menyalahkan takdir. Mungkin suatu hari nanti kamu lebih berjaya daripada mereka yang mempunyai segulung ijazah itu.




Cuba renungkan kembali, tidak terlintaskah di hatimu adik-adik ku betapa gembiranya ayahmu disaat melihat kau mulai pandai menulis dan membaca?? Disaat kamu pandai menulis nama sendiri dan menunjukkan tulisanmu itu kepada mereka tidak sedarkan kamu betapa gembiranya hati mereka walaupun mereka tidak tahu membacanya?? Mereka menyuruhmu membaca buku disetiap malam supaya kamu lancar dan fasih membaca.


Dalam masa yang sama adik-adikku ayah mu itu mahu mendengarmu membaca, betapa gembiranya hati mereka mendengar bacaanmu itu. Bagi mereka itu suatu kejayaan, kamu berupaya melepasi suatu tahap di mana mereka tidak berpeluang untuk merasainya. Walaupun mereka tidak tahu membaca atau menulis, tetapi melihatmu berjaya adalah cita-cita mereka. Tika hari anugerah cemerlang, melihatkan kamu berjalan di atas pentas untuk menerima anugerah, tahukah kamu betapa gembira dan bangga nya mereka terhadapmu.


Kamu sebenarnya beruntung mendapat peluang untuk bersekolah untuk mengenal huruf dan angka. Tahukah kamu wahai adik-adiku, di luar sana rupanya masih ada segelintir daripada kita yang masih tidak berpeluang untuk bersekolah dan langsung tidak tahu membaca dan menulis. Bayangkan, di sebalik zaman teknologi ini, masih ada golongan yang buta huruf. Aku pernah bertemu dengan sesorang yang mana aku menyangkanya kehidupannya sama seperti kebanyakkan kita hari ini.


Dari segi penampilannya, ku lihat dia kemas berpakaian. Orangnya sangat baik, dan sentiasa tersenyum manis. Tetapi di sebalik senyumannya itu, rupanya ada tangis yang disembunyikan. Dia tidak pernah bersekolah, dia langsung tidak tahu membaca dan menulis. Aku pernah bertanya, adakah dia ada mengidap sebarang penyakit yang menyebabkan dia terpaksa mendapat rawatan sewaktu kecil dan perlu meninggalkan alam persekolahan. Jawapannya tidak. Dia ingin sekali bersekolah seperti kebanyakkan kita yang lain, tetapi tidak berpeluang bersekolah disebabkan oleh kekangan kewangan.


Dan dia memilih untuk berkerja di usia yang sangat muda, yang mana kebanyakkan kita masih berharap wang saku untuk berbelanja di sekolah. Dia memilih untuk membantu orang tuanya walaupun dengan pendapatan yang kecil. Alhamdulillah dia gembira dengan hidupnya. Aku mengenalinya 7 tahun dahulu, di saat aku mengenalinya itu, dia sudah boleh menulis namanya sendiri di atas bantuan kawan-kawan di tempat kerjanya itu. Dan dia masih belum boleh membaca, sekadar menghafal bentuk huruf sahaja untuk menulis namanya sendiri.


Mungkin Allah mempertemukan aku dengan insan seperti itu sebagai tarbiyah buat aku. Walaupun dia tidak berpeluang untuk bersekolah, tetapi harapannya menggunung terhadap adik-adiknya, dia berharap-harap adik-adiknya dapat meneruskan pelajaran dan tidak merasakan apa yang dia rasa. Bayangkan, itu hanyalah pengorbanan seorang kakak, pengorbanan seorang ayah pastinya lebih besar. Mungkin kita tidak laluinya, sekurang-kurangya ambillah pengajaran dan iktibar daripada kisah orang lain dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada.


Wahai adikku, ingatkah engkau hari pertama engkau dimasukkan ke sekolah, ayahmu membelikan bag, baju, kasut dan peralatan sekolah yang baru walaupun harganya tidak semahal orang lain. Tetapi tidakkah kamu sedar, orang tuamu itu sanggup berlapar dan berjimat untuk beberapa hari demi menyiapkan keperluan sekolahmu?? Sedarkah kamu bahawa terlalu besar pengorbanan mereka dalam membesarkanmu?? Apakah kamu mampu melakukan perkara yang sama kepada mereka?? Apakah mampu kamu membalas jasa mereka?? Jawapannya tidak adik-adikku, kamu tidak akan mampu membalasnya. Walau kamu menyediakan rumah yang besar atau  wang yang banyak kelak, kamu tetap tidak mungkin mampu membayar harga sebuah pengorbanan ikhlas insan bergelar ayah.





Adikku, aku sendiri sudah tidak punyai ayah di sisiku, ayah ku telah pergi menyahut panggilan ilahi. Dan aku sendiri sangat ridukan ayahku. Setelah ayahku tiada, banyak perkara yang aku baru ketahui dan perlu aku pelajari, yang selama ini aku menganggapnya remeh, kerana aku tidak pernah melakukannya sendiri, tetapi ayah dan ibuku telah menyediakannya untuk kami, mungkin ianya tidaklah semewah orang lain, tapi cukup untuk kami sekeluarga.


Selama ini aku mengganggap itu hanyalah sesuatu permintaan yang ringan sahaja, tetapi selepas ayah tiada, aku belajar berdikari dan melakukan sesuatu dengan sendiri dan barulah menyedari kesukaran itu wujud. Mungkin selama ini, kasih seorang ayah telah berjaya meneggelamkan rasa sukar itu disebabkan keihklasan hatinya terhadap anak-anaknya. Tidak mampu rasanya untuk aku membayar ikhlasnya pengorbanan seorang ayah itu. Hanya doa sahaja yang aku mampu panjatkan. Semoga Allah merahmati rohnya dan tempatkannya dikalangan orang yang beriman. Amin.


Di sini aku hanyalah menyampaikan rasa hatiku kepadamu yang masih punyai seorang ayah disisi. Sayangi dan terimalah dirinya seadanya kerana dia juga manusia yang ada kelemahannya. Kelak bila dia sudah tiada di sisimu, tiada guna air mata penyesalanmu kerana dia telah pergi dan tak mungkin kembali lagi. Waktu itu kamu barulah menyedari bahawa selama ini betapa mulianya hati dan betapa besarnya jiwa mereka dalam mengharungi pelbagai jerit perih kehidupan demi membesarkanmu.


Tiada perkataan yang dapat aku gambarkan untuk menyatakan betapa tulus dan ikhlasnya kasih seorang ayah itu. Andai dia tiada lagi di dunia ini teruslah menaburkan bakti dan jasa kepadanya, sedekah dan niatkanlah untuk disampaikan kepada mereka dan ketahuilah setelah matinya anak Adam, semunya akan terputus daripadanya melainkan 3 perkara, yang pertama ilmu bermafaat, doa anak soleh atau solehah dan sedekah jariah. Sebarang kebaikan yang diajarkan oleh orang mereka amalkanlah dan semoga pahala tersebut sampai kepadanya. Sentiasalah mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzakh, semoga roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dikalangan orang beriman. Aaaminnnn.


Comments

  1. Ayat2 yang begitu sebak dan menyentuh di hati...

    ReplyDelete
  2. Kita sebagai seorang anak, patut menghargai kedua-dua ibu bapa kita. Kita mungkin lebih rapat dengan ibu kita sebagai contoh. Tapi, janganlah lupa dengan jasa ayah kita. Ayah juga memberikan sumbangan besar. Kita sahaja yang tak nampak.

    ReplyDelete
  3. hemm.. teringat kat abah di ipoh tu.. huhu.. TB bukan anak bongsu.. tapi manja TB kalah anak bongsu.. Abah sentiasa caring dan faham serta tahu apa yang TB mahu kan.. sampaikan time pregnant pun .. abah melayan Tb macam anak kecil.. Rindunya kat abah.. nak balik tengok abah minggu depan.. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. haah ... klu ada cuti n budget lebih boleh la selalu balik kan.. :-)

      Delete
  4. Menagis meleleh air mata akak baca setiap bait ayat diatas...bukan sbb akak fikirkan diri akak tp fikirkan satu2 nya anak akak yg x dipedulikan oleh ayahnya..dh hampir 2 tahun Dania x jumpa ayahnya..x tau la apa perasaan dia kalau baca entry diatas..anak akak ni jenis memendam..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar yer kak... smoga akak tabah selalu yer.. smoga dania pun faham nanti.. mudah-mudahan..

      Delete
  5. AlFatihah..
    Tersentuh hati bila baca ..dan hakikat yg perlu diterima kasih sayang seorang ayah tiada dalam kamus hidup ini tp tak pernah sedikit pun timbul kebencian..redha dgn jalan yg tlh ditentukan Ilahi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. insya Allah kalau xde simpan dendam hidup sentiasa tenang.. moga dipermudahkan urusan SA :-)

      Delete
  6. Semoga semuanya baik2 dan di rahmati Allah selalu :) tajuk rindu pun dah buat tersentuh hati ini kan ayah huhuhuhu

    ReplyDelete
  7. Bagusnya perkongsian penuh kata nasihat ni. Memang banyak jasa dan pengorbanan seorang ayah sebenarnya yang kalau dikenang betul-betul, pasti akan menitis air mata... Selagi mampu, apa yang kita mahukan mesti akan dipenuhinya.

    ReplyDelete
  8. Xtahu nk ckp apa. Xsempat rasa kasih syg ayah 😢😢😢😢😢

    ReplyDelete
  9. Untunglah kepada sesiapa yang dianugerahkan ayah sebegitu.. miera tak ada pun ayah yang sayang kat Miera

    ReplyDelete
    Replies
    1. xpe.. doakan lah kat dia mne tahu terbukak pintu hati dia nnti :-)

      Delete
  10. Aamin... semogakita semua membalas budi baik ayah dan jaga ayah selagi bernyawa... ayah ku kini sakit tua dan sudah tidak mampu makan kecuali melalui tiub dgn hanya diberi susu shj... Moga kalian doa segalanya dipermudahkan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga ayah kak fas cepat sembuh... dah dipermudahkan semua urusan kak fas yer :-)

      Delete
  11. deepnya entri ni....mmg kita tam kerasai kasih sayang ayah sejak kecil...dah besar ni br ayah dtg mencari

    ReplyDelete
    Replies
    1. mungkin pintu hati dia sudah terbukak untuk cari awak balik... smoga awk dan kelearga dalam keadaan baik2 sahaja :-)

      Delete
  12. Sedih sgt baca. Tak pernah rasa belaian kasih sayang ayah sebenar. Now anak pun mcm tu jugak..tak pernah dpt belian ayah. Buat yg ada ayah..hargai mereka selagi mereka ada.

    ReplyDelete
  13. Saya baru kehilangan abah pada 1 Disember yang lalu... Begitu sebak membaca nukilan ini... Begitu kuat ingatan saat memeriksa nadi abah yang dah tiada... Saat mengangkat beliau buat terakhir kali untuk dibaringkan di pembaringannya yang terakhir di rumah...
    Saat itu satu demi satu kenangan memukul ingatan dari kecil hingga dewasa, kenangan menusuk jiwa...
    Betapa besar pengrbanan abah membesarkan anak-anak dari kecil hingga dewasa... Bersusah payah nak beri makan hingga mampu mengenal huruf, membaca dan menulis...
    Kemudian mencari kehidupan sendiri...
    Aduh sakitnya rasa menanggung rindu... Mungkin kerana saya bongsu.. Sudah terbiasa ada dia... Bila dia sudah tiada, terasa benar sunyinya...
    Moga Allah merahmati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. al fatihan.. semoga roh arwah ayah ditempatkan dikalangan orang y beriman.. dan semoga tenang di sana.. insya Allah ... :-)

      Delete
  14. Bonde pun rindu arwah ayah bila baca entri ini, Al fatihah untuk Ayah

    ReplyDelete
    Replies
    1. itu la kan bonde... mne ade ank y x rindukan ayah nye :-)

      Delete
  15. Is sad to hear it. We have to respect and Care our parents.

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup.. we should always love n care our parents..

      Delete

Post a Comment

Pandangan dan cadangan yang bermanfaat sangat dihargai :-)

POPULAR POST FOR THIS MONTH

TIP KERJAYA : SKOP KERJA BIDANG SUMBER MANUSIA (GAJI PEKERJA)

REVIEW : ROSKEN SKIN REPAIR - HIGH POTENCY VITAMIN E CREAM ENRICHED WITH SHEA & COCOA BUTTER

Review: Pahang Pharma Vitamin C 1000mg