HARI TUA YANG MEMBAHAGIAKAN



Lama sudah tak mengarang... kekangan masa dan tanggung jawab lain dan macam-macam hal lagi... Sedar tak sedar, usia kian meningkat, tapi bila direnungkan balik banyak perkara perlu dibetulkan balik. Tapi sedar diri ini hanyalah manusia biasa dan tidak mampu mengubah apa-apa yang telah terjadi. Semoga Allah memeberikan kesempatan untuk diri ini menjadi orang yang lebih positif dan menerima ketentuan yang telah tetapkan ini dengan berlapang dada. Semoga ada kesempatan buat diri untuk berubah ke arah yang lebih baik.






Usia  saban hari semakin meningkat, begitu jugalah dengan orang tua kita, semakin hari semakin meningkat usia, yang dulunya cergas ke sana kemari mencari rezeki buat anak-anak dan keluarga kita kian lemah dan tenaga juga semin berkurang. Buat diri kita juga, sekiranya Allah takdirkan kita usia panjang kita juga akan melalui hari-hari tua kita. Persoalannnya bagaimanakah hari-hari tua kita itu nanti? Apakah berkesempatan berada di dalam kemanisan beribadat atau masih alpa dan masih terkejar-kejar dengan keindahan dunia yang penuh dengan tipu daya manusia dan godaan syaitan ini??


Beruntunglah kita seandainya kita dipilih oleh Allah untuk merasakan nikmat dalam beribadat dan dianugerahkan ketenangan yang tiada tolok gantinya dalam kehidupan seharian kita. Baru-baru ini, ada terdengar sebuah kisah seorang wanita yang sudahpun berusia, orangnya sangatlah rendah diri dari segi penampilannya sangatlah sederhana. tiada bag tangan yang mahal ataupun kenderaan mewah tetapi beliau mempunyai jiwa yang sangat tenang dan bahagia. TENANG dan BAHAGIA itu sangat mahal harganya pada hari ini. Tidak mungkin dibeli oleh wang ringgit.






Disaat menyedari kehidupan yang semakin singkat, beliau memilih untuk mengifak hampir keseluruhan hartanya ke jalan Allah. Apa yang menarik perhatian sis adalah wanita ini memiliki fikiran yang luar biasa dan meletakkan kebergantungan kepada Allah dalam segala hal. Beliau memilih untuk mengifak hartanya dalam keadaan dirinya masih cergas bergerak ke sana ke mari. Beliau baru sahaja bersara dan tidaklah terlalu tua dan masih cergas dan aktif. Ada orang yang diluar sana apabila ditimpa masalah kesihatan barulah sedar kematian kian mendekat dan barulah sudi untuk mengeluarkan infaq. Tetapi wanita, ini memilih untuk mengeluarkan infaq dalam keadaan dia masih cergas dan infaq yang dikeluarkan adalah harta yang dimilikinya sendiri dan bukanlah hasil daripada perusahaan atau organisasi. Dia mengeluarkan harta yang yang telah diperolehi daripada hasil titik peluhnya untuk berbagi dengan mereka diluar sana.


Beliau sangat bersangka baik dengan perancangan Allah dan beliau meletakkan seluruh kebergantungan kepada Allah. Orang-orang yang mempunyai jiwa yang tenang ini tingkah laku dan keperibadiaan mereka sangat lah baik dan sentiasa merendah diri dan tidak pernah berbangga dengan harta yang mereka miliki. Harta tidak menjadi tujuan hidup mereka, apa yang mereka inginkan hanyalah redha Allah semata-mata dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam segala hal. 


Beliau sangat yakin dengan janji Allah. Beliau tidak pernah takut harta mereka berkurang, tetapi sangat berasa takut sekiranya mereka menjadi lalai dan menjadi tidak amanah dalam menguruskan harta yang telah diberikan kepada mereka sewaktu di dunia. Wanita ini juga mengatakan, sepanjang dia mengeluarkan sedekah ini, hartanya tidak pernah berkurang, tetapi sering menerima rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka  dan tidak pernah putus. Satu demi satu telah Allah aturkan buat dirinya. 






Apa yang beliau harapkan adalah, sekiranya tiba waktu beliau pergi meninggalkan dunia ini kelak, hartanya tidak menjadi harta yang tidak bermanfaat. Sekiranya mengikut logik akal kita, orang yang biasa-biasa ini pastinya harta ini selepas kematian nanti akan difaraidkan kepada pewaris yang layak sahaja dan digunakan untuk kehidupan mereka. Tetapi fikiran wanita ini amat luar biasa. Sekiranya anak-anak atau  pewaris harta faraid telah dibesarkan dengan baik, harta jua bukanlah yang terbaik buat mereka, mereka pasti akan berusaha mencari rezeki yang berkat untuk meneruskan kehidupan mereka dan bukanlah meminta-minta atau beroleh rezeki daripada cara yang tidak baik sehingga berlakunya kekejaman dan penidasan kepada orang lain. Harta yang mereka bekalkan kepada anak-anak mereka adalah ilmu agama, agar anak-anak kuat berpegang pada tali Allah.


Harta yang telah dinfaqkan inilah yang akan menjadi saham yang tidak akan putus sewaktu kita berada di alam barzakh. Harta yang jelas dan tidak bersangkut dengan perkara-perkara yang lain ini lah yang akan banyak membantu kita di hari akhirat kelak. Ya Allah indahnya peribadi wanita ini, semoga Allah memberikan kita semua hati yang tenang dan belajar untuk ikhlas dalam segala hal. Indahnya usia tua mereka berada dalam kenikmatan beribadat dan tenang tanpa meletakkan hal-hal dunia dihati mereka.


Apakah pengakhiran usia kita kelak?? Sempatkah kita menuju tua atau alpa dalam usia muda yang masih kuat dan bertenaga tetapi tersesat dengan indanya dunia semata-mata. Sedangkan mati itu bukanlah syarat sakit, bukan juga tua.. tetapi perjanjian hidup.. setiap yang bernyawa pasti akan bertemu dengan kematiaan. Bersediakah kita untuk menuju hari akhir kita?? 


Kehidupan kita mungkin tidak sama seperti wanita ini, mungkin kita tidak mempunyai wang ringgit atau harta yang banyak, tetapi amalan sedekah ini tidak menunggu kita memiliki harta yang banyak atau menimbun-nimbun kerana sewaktu tibanya waktunya kita berada dalam timbunan harta yang banyak, yang paling ditakuti hati kita tidak lagi dihadirkan rasa untuk bersedekah kepada fakir miskin yang lebih layak, tetapi harta itu diagihkan kepada mereka yang tidak sepatutnya atas faktor kepentingan peribadi dan lebih kepada menjaga nama dan reputasi dikalangan masyarakat sekeliling agar diri dipandang mulia dan baik. Berdasarkan kisah wanita ini, beliau dahulunya juga orang biasa-biasa juga, mungkin berkat amalan sedekahnya menjadikan diri nya seorang yang kaya jiwa dan bahagia. Semoga Allah Taala memberikan perlindungan dan rezeki yang tiada putusnya kepada beliau dan juga buat kita semua kita. 


Apa yang sis tulis disini adalah sebagai perkongsian semata-mata. Sejujurnya sis tidak mengenali wanita ini, tetapi perkongsiaan ini telah dikongsi oleh seorang hamba Allah yang mempunyai peribadi yang baik juga dan sangat merendah diri. Ya Allah apakah amalan para wanita ini sehinggakan mereka dianugerahkan hati yang begitu kuat untuk melepaskan dunia demi akhirat mereka. Mereka sangat menjaga tutur kata mereka dan menggunakan bahasa yang baik dalam berkomunikasi dan tidak menyakiti hati sesiapa, sekiranya mereka mendengar ada insan yang tersinggung dengan tuturkata atau tingkah laku mereka, terus mereka memohon maaf dan tidak pernah merasakan diri mereka menjadi hina atau rendah kerana ucapan maaf tersebut. Setiap perkara yang dilakukan adalah kerana mencari redha Allah semata-mata. 


Sesungguhnya orang-orang yang meletakkan Allah sebagai kuasa yang Maha Agung dan mempunyai kedudukan yang Maha Tinggi ini mempunyai akhlak yang sangat baik. Akhlaknya yang baik dan terjaga sewaktu dengan suami, anak-anak dan ahli keluarganya. Orang yang yang terbaik adalah mereka yang menjadi yang terbaik untuk orang-orang yang terdekat mereka iaitu ahli keluarga mereka. 


Tidak mudah untuk berdamai dengan hati. pasti ada terselit ego dan keangkuhan yang merasakan diri yang terbaik. Berasa diri sendiri sahaja yang terbaik sehingga tutur kata tidak lagi terjaga penuh dengan cacian dan makian yang mencerminkan hati dan jiwa yang tidak senang. Mencari ilmu atas dasar ingin terlihat baik dan menutupi kesilapan sendiri atau berbuat sesuatu demi mendapatkan pujian dan penghargaan daripada manusia semata-mata. Di manakah nilai hati kita yang sebenarnya? Meskipun perkara dihati tidak terlihat atau terbaca oleh insan lain, tetapi pasti tingkah laku dan akhlak yang terpamer adalah cerminan hati. Hati yang baik, pastinya akan mencerminkan keindahan akhlak dalam segala hal tanpa mengira kecil atau besar hal tersebut. Kerana akhlak mereka terbimbing daripada akidah mereka terhadap Allah yang satu. Tetapi bagi mereka yang angkuh dan riak, pastinya akhlak mereka tidak begitu baik dengan ahli keluarganya dan sering mengeluarkan tutur kata yang tidak sopan malah sering menyakiti orang lain dengan tutur kata yang kasar dan angkuh. Dan sering berharap dihormati, walaupun diri sendiri tidak menghormati orang lain. Pada mereka, penghormatan itu adalah kepada mereka yang mempunyai status sahaja, dan mempunyai gelaran tertentu sahaja. Mereka juga sering berharap mendapat layanan yang terbaik daripada orang lain sedangkan mereka sendiri tidak berusaha untuk memberikan kebaikan kepada orang lain dengan penuh rasa ikhlas dan mengharap redha Allah.





Semoga Allah sentiasa memelihara kita, memberikan kita kehidupan dan rezeki yang berkat. Semoga Allah hadirkan kita keluarga yang baik yang penuh dengan kasih sayang. Semoga Allah jauhkan kita daripada hasad dengki dan riak. Semoga Allah memberikan kita ilmu yang afiat dan bermanfaat. Semoga Allah jauhkan kita daripada manusia yang zalim dan didekatkan kita dengan para ilmuan dan insan-insan yang Allah telah pilih untuk diangkat darjatnya di sisi Allah. Semoga kita kuat untuk menguruskan hal dunia agar tidak tenggelam dalam dunia semata-mata. Semoga Allah memberikan kita kekuatan jiwa dan sentiasa dibukakan hati untuk berubah menjadi mukmin dan mukminah yang lebih baik. Semoga Allah memelihara kita di hari tua kita. Semoga Allah anugerahkan ketenangan dan kebahagiaan buat kita dan ahli keluarga kita. Aaminn...



Comments