BARANG POS LAMBAT SAMPAI
Isu barang yang di hantar untuk di poskan tetapi mengambil masa yang lama untuk sampai ke tangan penerima bukanlah isu yang baru. Saban tahun kita mendengar permasalahan ini. Terutamanya bila tiba bulan Ramadhan. Banyak perniaga online perlu menghantar barang kepada pelanggan mereka. Waktu ni lah rezeki perniaga-perniaga online ni mencurah-curah. Customer order barang datangnya dari serata negeri. Alhamdulillah rezeki Ramadhan katanya...
Bulan puasa kebanyakkan daripada kita akan shopping sakan, nak beli itu beli ini. Nak lagi senang beli online jer.. Semua kat hujung jari jer.. Pilih barang dan transfer duit, so settle..
Itu kita yang fikir, cuba bayangkan 1 bulan tu, tiba-tiba barang yang nak di pos tu meningkat secara mendadak, pastinya pihak pos perlu lebih banyak masa untuk uruskannya. Di situ, mungkin perlu ada pengubahsuaian dari segi pengurusan untuk bulan-bulan yang dijangka akan memerlukan membuat penghantaran yang lebih banyak.
Selain itu, posmen yang menghantar barang pun perlu keluar dari pagi sampai ke petang nak menghabiskan barang yang di nak dihantar kepada customer. Mereka hantar barang menggunakan jalan raya yang sama yang kita pakai, tiada laluan khas untuk mereka. Kalau kita rasa kita terpaksa bersesak kat jalan raya begitu jugalah mereka. Kalau kita rasa lambat nak sampai, samalah jugak mereka. Kita mungkin berada di jalan raya seketika sahaja, sewaktu untuk datang ke tempat kerja sahaja, tetapi untuk seorang posmen sepanjang hari mereka perlu berada di jalan raya.
Kadang-kadang ada posmen yang menghantar barang menggunakan motor, mereka berhujan, berpanas, berasap untuk menghantar barang. Tetapi, bila sahaja barang sampai kita langsung tidak menghargai servis yang diberikan. Malah, sempat dihadiahkan sindiran kepada mereka. Ada jugak segelintir daripada kita, tegar mengeluarkan cacian kepada pekerja tersebut.
Apakah kita sedar, yang di hadapan kita sekarang adalah posmen yang tugasnya untuk menghantar barang kepada penerima. Dia hanyalah menjalankan tugasan seperti mana yang telah dijadualkan oleh pihak pengurusan. Sekiranya jadual itu sudah dikeluarkan, maka mereka akan menghantar barang mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sekiranya kita berasa tidak puas hati dengan servis mereka, janganlah menghina atau mencaci posmen berkenaan, mereka hnyalah menjalankan tugas mereka untuk menghantar barang kepada customer. Sebaiknya sebagai customer, kita cubalah bertindak dengan lebih bijak, cubalah menghubungi pihak customer service atau pihak pengurusan untuk berbuat aduan. Supaya mesej senang dan cepat sampai ke pihak yang sepatutnya.
Sekiranya, si posmen itu berkelakuan biadap, seperti mencampakkan barang atau sebagainya, itu jelaslah pekerja tersebut tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. Permasalahan itu jelas berlaku di antara penerima dengan posmen berkenaan. Tetapi, untuk isu barang yang lambat sampai ni tak usahlah kita memarahi posmen tersebut.
Kadang-kala proses menjadi lambat, mungkin disebabkan masalah daripada luar juga, mungkin pengirim tersalah letak alamat, atau mungkin sewaktu barang di hantar penerima tiada di rumah atau mungkin keluar seketika. Kadangkala sudah di hubungi melalui telefon, tetapi tidak berjaya. Selain itu, terdapat isu parcel dibungkus tidak kemas menyebabkan barang terkeluar dan kadangkala ada consignment note yang tercicir. Cuba bayangkan dalam keadaan parcel yang bertimbun-timbun dan perlu di buat pengasingan mengikut tempat atau kawasan, tetapi consignment note atau barang pulak tercicir di sebalik timbunan itu. Pastinya itu akan melambatkan proses yang ada.
Dan faktor yang di luar kawalan seperti, faktor lalu lintas. Adalah di luar kawalan kita untuk mengawal lalu lintas di jalan raya. Ada masanya lengan ada masanya sibuk. Boleh jadi lampu isyarat rosak, hujan dan mungkin saja terjadinya kemalangan di mana-mana yang menyebabkan lalu lintas menjadi semakin tidak terkawal. Ini semua perkara yang berada di luar kawalan kita. Sukar untuk kita mengawal faktor sebegini.
Kadang-kadang terfikir tak kita, walaupun tak semua daripada kita, tetapi kebanyakkan daripada kita di bulan puasa ni berpeluang pulang awal ke rumah. Kita berpeluang berbuka puasa dengan ahli keluarga dengan pelbagai juadah yang sudah sedia terhidang. Tetapi, mereka di bulan puasa ni lah terkejar sana terkejar sini untuk menghantar barang-barang kalian sebelum menjelangnya lebaran. Kadang-kadang ternampak mereka berbuka di tepi jalan atau mana-mana tempat yang bukanlah sesuai untuk kita makan. Tetapi itu sahaja pilihan yang mereka ada untuk memastikan barang-barang sampai ke tangan kita.
Jika tak dihabiskan pada hari itu, pastinya esok akan lebih parah. Nak tak nak mesti dihabiskan pada hari tersebut. Terkadang tak dinafikan juga, ada penerima barang yang baik hati, tersimpan sedikit belas di sudut hati. Gembira menerima barang yang ditunggu, dihadiahkan pula dengan air kotak dan roti sebagai bekalan untuk berbuka.
Cubalah bayangkan, kalau kita yang sedang berada di rumah ini, berbuka puasa dengan air kotak dan roti pada setiap hari apakah perasaan kita sewaktu itu. Pasti berasa hilangnya nikmat Ramadhan ketika itu. Tetapi buat mereka yang hampir setiap hari terpaksa pulang lambat, berbuka dengan sekotak air dan sekeping roti itu sudah besar nikmatnya buat mereka.
Tidak dinafikan hak kita sebagai pelanggan, kita sebagai pelanggan berhak untuk berbuat aduan sekiranya terdapat sebarang permasalahan. Sekiranya ada sebarabg masalah, silakan berbuat aduan kepada pihak yang sepatutnya. Berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Cuba letakkan diri anda di dalam situasi mereka. Sebagai pekerja bawahan pastinya kita akan mengikut arahan daripada pihak yang lebih atas. Cuba bayangkan, anda dimarahi atau menerima tempias diatas kesalahan atau kecuaian orang lain apakah yang anda rasakan? Pastinya anda berasa sedih dan rasa tidak adil, anda sudah menjalankan tugasan sepertimana yang telah diarahkan tetapi anda pula yang dimarahi.
Begitu juga mereka, ada perasaaan ada hati. Janganlah kita memarahi tanpa berfikir panjang. Kita masing-masing kat dunia sementara sahaja. Jangan sesekali perlekehkan pekerjaan seseorang, biarpun nampak kecil kita tidak berhak untuk menghina atau memarahi mereka. Berfikir dahulu sebelum bertindak.
Lagipun di pihak kita sendiri apa kurangnya, sudah tahu setiap kali menjelangnya Ramadhan pasti ada masalah penghantaran barang, kenapa kita tidak mengambil inisiatif untuk shopping lebih awal. Tambahan pula tahun ni kita diuji dengan kemunculan wabak yang masih belum berakhir, pastinya keadaan akan lebih mencabar. Banyak daripada kita terpaksa shopping online untuk mengurangkan kekerapan untuk keluar daripada rumah. So, memang tak dapat dielakkan, kebanyakkan daripada kita terpaksa memilih alternatif untuk melakukan pembelian secara online. So, kita hargailah khidmat mereka. Sekurang-kurangnya kita yang sedang berada di rumah ini terasa selamat dan lebih selesa berbanding mereka.
Kalau dulu, kita rasa kesian mendengar kisah posmen-posmen di saat tibanya bulan Ramadhan di negara kita ini, tahun ni sepatutnya kita rasa lebihlah lagi. Janganlah kita menyakiti hati mereka dengan kata-kata yang kasar. Sekiranya kita ingin dihormati oleh orang lain, kita juga perlulah menghormati orang lain. Janganlah kita berlagak dan sombong dengan kelebihan yang kita ada. Kita, kadang-kadang kita langsung tak terfikir dengan soalan kita. Adakalanya soalan kita tu kalau difikirkan balik, memang bukanlah soalan yang sesuai untuk ditujukan kepada posmen tersebut. Antara soalan yang seting diajukan, kenapa pihak pos tak tambah pekerja? Agaknya minggu depan pos cepat ke lambat? Kenapa barang yang order kemudian boleh sampai cepat?
Adik kakak sekalian, kalau kita sendiri lah kan, walaupun berkerja berada di dalam bangunan yang sama, kita akan rasa adil ke kalau kita dipersoalkan dengan tugasan orang lain, yang mana kita langsung tidak terlibat? Pasti kita berasa soalan tu macam tak masuk akal kan kalau ditanya sebegitu, rasa nak marah pun ada kan bila di tanya soalan yang tiada kena mengena dengan tugas kita kan.. So, samalah jugak dengan encik posmen ni.. Dia pun dah penat terkejar-kejar ke sana sini menghantar barang, manalah dia sempat nak ambil tahu tugasan orang lain. Walaupun kita berada di bidang berlainan, tetapi berfikirlah dahulu sebelum bertanya. Kalau dah tak boleh berfikir, cukuplah sekadar ucapkan terima kasih kepada mereka.
Semoga kita semua lebih bersabar dengan apa yang terjadi. Mereka di luar sana turut terkesan dengan keadaan sekarang, bukan kita sahaja. Semoga kita diberikan kekuatan untuk bersabar dan beradab. Semoga dengan adanya adab, adat pun akan terjaga.
Comments
Post a Comment
Pandangan dan cadangan yang bermanfaat sangat dihargai :-)